Wednesday, June 4, 2014
KISAH DARI AL-QURAN : Nabi Yusuf - Chapter 001
NABI YUSUF
Hari sudah pagi, matahari telah mengembangkan sayapnya menyelubungi seluruh alam. Yusuf terbangun dari tidurnya sejak subuh tadi dengan muka yang berseri seri, kerana kini selain udara pagi yang enak dan nyaman, cahaya matahari kini berkemilauan dan pula kerana dalam tidurnya semalam dia bermimpi menarik sekali. Dengan tersenyum manis dia lalu pergi mendapatkan bapanya Nabi Yaakub bertanyakan kalau kalau ada khabar baik dari mimpinya itu: Ya bapaku, saya sudah bermimpi malam tadi, sebuah mimpi yang sangat baik, kerananya saya sangat berbesar hati, senang perasaan. Dalam mimpi itu saya melihat sebelas bintang, matahari dan bulan kesemuanya sujud kepada saya. Cubalah bapa terangkan kepada saya akan takwil mimpi itu, karena saya tidak tahu akan takwilnya.
Mendengar mimpi anaknya yang sebaik itu, Nabi Yaakub tersenyum gembira lalu berkata: Hai, anakku! Mimpimu itu adalah mimpi yang benar, menjadi kenyataan sekarang apa yang aku sangka sangkakan selama ini terhadap dirimu, dan segala sesuatu yang aku harap harapkan atasmu. Itulah dia khabar gembira dari Allah yang akan mengistimewakan engkau dalam pengetahuan, akan memberi engkau nikmatNya yang banyak. sebagaimana juga nenek nenekmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak sendiri dahulu sebelum kamu ini.
Aku menasihatkan kepadamu, agar engkau jangan sekali kali menceritakan mimpimu itu kepada saudara saudaramu, sebab aku tahu bahawa saudara saudaramu itu telah menaruh hati yang buruk terhadap dirimu dan saudaramu, Bunyamin, lantaran aku mengistimewakan engkau berdua dalam asuhanku.
Aku sudah mendengar sendiri pada hari ini bahawasanya saudara saudaramu itu telah membicarakan hal kamu berdua dengan pembicaraan yang sungguh tidak enak didengar. Kalau engkau ceritakan pula mimpimu kepada mereka, pastilah akan bertambah kedengkian mereka itu, mungkin kebencian mereka akan bertambah tambah kepadamu berdua, mungkin pula mereka akan memperdayakan engkau dengan berbagai bagai jalan dan akal, maklumlah mereka itu sudah dipengaruhi oleh syaitan, sedang syaitan itu adalah musuh yang sebesar besarnya bagi manusia.
Yusuf adalah anak yang luar biasa di antara anak anak Nabi Yaakub yang banyak itu, kerana bagus dan elok rupanya, baik perangainya, dalam pemikirannya dan luas pengetahuannya. Ibunya (Rahil) meninggal dunia ketika dia dan adiknya Bunyamin masih kecil, masih berumur dua belas tahun saja. Karena kematian ibunya inilah, maka bapanya Nabi Yaakub sangat cinta terhadap kedua anaknya ini, iaitu Yusuf dan Bunyamin. Itulah yang menyebabkan saudara saudaranya yang lain dengki dan irihati terhadap kedua saudara yang tidak beribu ini. Apalagi setelah Yaakub mendengar dan mengetahui akan mimpi Yusuf itu, semakin bertambahlah sayangnya terhadap Yusuf dan semakin bertambah pula pengawasannya untuk keselamatan Yusuf bersama adiknya. Hal ini menyebabkan bertambah kebencian saudara saudaranya terhadap Yusuf sendiri berserta adiknya itu.
Walau bagaimana juga, kebencian dan kedengkian itu tidak dapat ditutup dan disembunyikan sama sekali. Begitu juga rasa cinta terhadap seseorang, sebagaimana rasa sayang Yaakub terhadap Yusuf dan adiknya pun tidak dapat ditutup dan disembunyikan; pasti ketahuan dan kelihatan jua. Begitulah, saudara saudara Yusuf itu semuanya sudah mengetahui betul akan sikap bapa mereka terhadap Yusuf dan adiknya. Yusuf dan Nabi Yaakub sendiri mengetahui benar akan perasaan saudara saudara Yusuf terhadapnya.
Pada suatu hari, mereka yang dengki dan benci kepada Yusuf itu lalu berkumpul dan bermesyuarat. Sama sama mengemukakan perasaan masing masing atas peri laku bapanya yang dianggapkan tidak adil itu. Salah seorang di antara mereka berkata: Sudah sama sama kita lihat sendiri, bahawa Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita berbanding dengan kita semua.
Saya tidak mengerti, apakah yang telah menyebabkan bapa kita berperangai demikian, bukankah kita sekalian ini yang besar dan tua dari Yusuf dan adiknya, kitalah yang lebih kuat, bukankah kita sudah banyak berjasa menjaga dan memelihara Yusuf sendiri, tetapi kenapa dia yang lebih disayangi? Apakah karena Yusuf lebih mulia daripada kita? Dan tidak ada keterangan yang dapat saya percayai yang menyatakan bahawa Yusuf lebih mulia. Apakah kerana Rahil, ibunya lebih dekat di hati bapa daripada ibu ibu kita sendiri? Kalau begitu apa kesalahan si anak sekali pun berlainan kecintaan terhadap ibu ibu kita? Kalau begitu bapa kita sungguh sungguh keliru sekali.
Berkata pula seorang yang lain: Kelebihan bapa terhadap Yusuf sudah terang, sebagai terangnya matahari di tengahari. Kesayangan itu timbulnya dalam hati dan sangat berkuasa. Kesayangan itu tidak dapat dihilangkan hanya dengan kata kata dan bujukan, tidak dapat dengan kepintaran akal sebab cinta itu berdiri atas akal itu sendiri. Selama Yusuf masih berada dalam lingkungan keluarga kita, selama itulah cinta bapa kepadanya akan terus berlangsung, sebaliknya kita akan di ketepikan. Tidak ada jalan lain yang dapat melaksanakan niat kita, kecuali menghapuskan Yusuf dari pergaulan kita, dengan membunuhnya dan menghilangkan semua bukti bukti atas pembunuhan itu, atau kita bawa dia ke tempat yang jauh, kita berikan kepada binatang buas atau kita kuburkan hidup hidup di gurun pasir yang panas itu. Lama kelamaan sayang bapak terhadap kita akan timbul dengan sendirinya, kerana Yusuf yang dicintainya sudah tidak ada lagi. Kemudian kita mohon ampun kepada Tuhan atas semua dosa yang kita perbuat itu. Sesudah itu kita tidak akan berbuat jahat lagi.
Lalu tampil pula ke muka berbicara Yahuza, iaitu seorang yang paling baik hatinya di antara kesemua adik beradik itu, paling dalam pemikirannya dan tajam pula otaknya: Kita sekalian adalah anak Nabi Yaakub, keturunan dari Nabi Ibrahim yang mulia. Kita mempunyai akal dan agama. Pembunuhan tidak dibenarkan oleh akal dan dilarang keras oleh agama. Sedang Yusuf tidak bersalah sedikitpun, tidak pernah berdosa, juga tidak pernah berbuat tidak baik terhadap kita. Bila kamu sekalian ingin menjauhkan Yusuf dari kita, bawa sajalah dia ke telaga Jub, yang letaknya jauh dari sini, tempat orang yang singgah mengambil air. Taruhlah Yusuf dalam telaga itu, lalu ditinggalkan di sana, agar dia diambil orang orang yang lalu lintas di sana sebagai anak angkatnya. Biar dibawa orang itu ke mana mereka pergi, sehingga Yusuf tidak dapat kembali ke tengah tengah kita buat selama lamanya. Dengan jalan begini, kita terhindar dari dosa pembunuhan. Pandangan Yahuza ini masuk akal mereka itu semua, mereka lalu sepakat akan menjalankannya selekas mungkin.
Pagi pagi benar keesokan harinya, mereka pergi bersama sama mengunjungi bapanya, lalu berkata: Ya, bapa kami! Percayalah bapa kepada kami tentang Yusuf. Dia adalah saudara kami sendiri, anak bapa semuanya. Kami cinta kepadanya sebagaimana sayang bapa sendiri terhadapnya. Biarkanlah dia besok pagi pergi bersama sama kami ke bukit itu, di mana udara agak sejuk dan pemandangannya indah, dengan langit yang bersih tak berawan, matahari yang bersinar. Kami ingin bermain main dengan dia, bersama sama memanjat memetik buah, menggembala kambing. Kalau bapa izinkan, kami sekalian akan bertanggungjawab atas keselamatannya, kekuatan dan keberanian kami akan menjaganya, jiwa kami sekalian menjadi pertaruhannya.
Mendengar perkataan itu, Nabi Yaakub menjawab: Aku khuatir akan terjadi sesuatu akibat yang kurang baik, yang tak diinginkan. Aku tak berkeberatan Yusuf terjauh dari aku, yang aku khuatirkan takut kalau kalau kamu pergi dengan dia kamu terlalai, lalu dia ditangkap serigala dan dimakannya; kamu kembali tanpa Yusuf, tentu aku berhati sedih.
Mereka menjawab pula: Apakah dia akan ditangkap serigala, sedang kami semua menjaganya? Tidak seorang pun di antara kami ini penakut dan berbadan lemah. Bila terjadi apa yang bapa khuatirkan itu, kami sekalian turut kehilangan saudara kami sendiri.
Sekalipun tetap khuatir, tetapi Yaakub tidak dapat menjawab pembelaan mereka, selain hanya berkata: Kalau begitu jagalah Yusuf baik baik jangan dilalaikan sedikitpun dari penglihatan dan apa yang kamu kerjakan Allahlah yang mengetahuinya.
Keesokan harinya, mereka bawalah Yusuf bersama sama ke tempat yang jauh sejauh jauhnya, menuju ke telaga yang sudah ditentukan mereka. Sebelum sampai ke telaga, niat mereka yang buruk itu tidak dapat mereka dibendung lagi, kerana desakan hati yang jahat, kedengkian yang memuncak. Setelah sampai di telaga, Yusuf ditelanjanginya dan mereka masukkan ke dalamnya. Mereka lalu kembali pulang sambil membawa bajunya, Yusuf ditinggalkan sendirian di dalam telaga yang dalam, menunggu nasib takdir Ilahi atas dirinya.
Dengan jalan begitu menurut sangka mereka, mereka telah dapat mengubati sakit hatinya selama ini; mereka mengira bahawa lama kelamaan bapa mereka akan melupakan Yusuf dan tidak akan mengingatinya lagi, mereka lupa akan kekuasaan Allah. Mereka lupa bahawa Allah selalu dapat melepaskan hambaNya yang tak bersalah, melindungi orang yang Ia kehendaki.
Di kala senja hari, mereka sudah kembali di rumahnya; lalu datang menemui bapa mereka dengan kata kata dan kalimat yang sudah mereka susun, untuk membohongi orang tuanya sendiri. Dengan bertangisan tersedu sedu, sambil memegang baju Yusuf yang sudah dilumuri dengan darah yang mereka cari sendiri untuk berbohong, lalu berkata: Ya, bapa kami! Rupanya terjadi juga apa yang bapa khuatirkan itu. Yusuf terlalai sebentar dari pandangan mata kami kerana kami berjalan terdahulu. Tidak kami ketahui, bahawa dikala itu seekor serigala telah menerkam Yusuf, lalu memakannya. Hanya tinggal bajunya yang sudah berlumuran darah saja. Inilah bajunya itu, sebagai bukti dari apa yang kami terangkan. Kami sedih sesedih sedihnya. Barangkali juga bapa tidak percaya kepada kami, sekalipun kami berkata benar.
Yaakub menjawab dengan sedihnya: Nafsu kedengkian kamu telah menyebabkan kejadian yang mengerikan ini. Kejadian itu sudah terjadi. Tidak ada yang lebih baik bagiku selain bersabar, sampaidatang saatnya nanti, di mana akan ternyata apa sebenarnya yang terjadi. Hanya kepada Allah aku mohon pertolongan atas segala galanya.
Di dalam telaga yang dalam, yang terletak jauh di tengah tengah padang pasir, gelap dan sunyi pula, sungguh merupakan satu ujian yang berat bagi pemuda yang bernama Yusuf. Memang sudah menjadi kudrat dan iradat Allah Yang Maha Kuasa, untuk menguji hambaNya yang taat dan bakti kepadaNya dengan berbagai bagai cubaan yang berat berat. Bukan dengan maksud menyeksa dan menyakitinya. Dengan pengertian beginilah kita harus memahami akan segala nasib dan musibat yang menimpa diri berbagai bagai Nabi, Rasul dan orang orang suci lainnya.
Dibandingkan dengan lain lain ujian yang pernah diderita oleh para Nabi dan Rasul, mungkin cubaan yang dialami Yusuf ini agak ringan juga. Hanya yang paling berat dirasakan oleh Yusuf, adalah kerana yang melakukan pekerjaan ini terhadap dirinya bukanlah orang lain, tetapi adalah adik beradiknya sendiri dan sedarah dengan dia yang menjadi musuhnya. Yusuf tetap tenang dalam telaga yang gelap dan dalam itu, sebagai seorang muda yang mulia, tahan uji serta tabah.
Matanya mulai melihat keliling dinding telaga yang curam dan dalam. Tidak ada yang dapat dilihatnya kerana gelapnya, selain air yang tenang dan jernih dari telaga itu sendiri. Bagaimana perasaan Yusuf dan apakah gerangan yang menjadi pemikirannya ketika itu, susah kita dapat menekanya. Yang terang, ingatannya selalu pergi ke arah bapanya yang begitu sayang terhadap dirinya. Terbayang dalam fikiran Yusuf bagaimana sedih bapa yang ditinggalkannya, sedih yang tak dapat dibayangkan dengan pena atau lisan.
Lapar pun mulai menyerang perutnya. Tetapi di mana dia akan beroleh makanan? Dan berapa lamakah dia akan tahan menahan lapar? Semuanya itu diserahkannya bulat bulat kepada Allah Yang Maha Kuasa lagi amat Bijaksana. Dalam menanggungkan sedih dan lapar yang sedang memuncak itu, tiba tiba terdengar jelas wahyu Ilahi menembus jiwanya:
Sabar dan sabarlah engkau, hai Yusuf, Aku Tuhanmu akan memberi jalan lepas kepadamu, Aku pertemukan engkau dengan saudara saudaramu itu, tetapi sesudah bertahun tahun kemudian. Dengan menerima wahyu yang demikian bunyinya, hilanglah kesedihan dan kesengsaraan batin yang diderita Yusuf. Dia menunggu bagaimana caranya bantuan Allah itu datang kepadanya. Sejurus kemudian, telinganya mulai mendengar detak-detik, gerak dan geri di atas padang pasir sekitar telaga itu. Telinganya dipasangnya sebaik baiknya
Terbukti bahawa suara itu semakin dekat dan semakin terang juga. Akhirnya ternyata bahawa suara itu adalah suara tepak kaki manusia yang sedang berjalan. Ternyata akhirnya, bahawa di dekat tempat itu sedang lalu satu kafilah, iaitu rombongan musafir unta di padang pasir. Bibir Yusuf mulai memperlihatkan senyuman, kembang harapan mulai merekah dan terbuka dalam kalbunya. Saat terlepas rupanya sudah dekat waktunya.
Terdengar jelas, para musafir itu melepaskan tongkat mereka di tepi telaga itu, tanda bahawa mereka mengambil tempat itu sebagai tempat istirahat. Terdengar pula suara pemimpin kafilah memerintahkan seseorang untuk mengambil air dari telaga itu untuk melepaskan dahaga mereka serta dahaga unta untanya.
Sebuah gayung air yang besar meluncur dari atas ke dalam telaga itu, tepat jatuhnya di hadapan Yusuf; dengan segera Yusuf merangkul gayung itu serta berpegang dengan kedua tangannya pada tali gayung. Tali ditarik orang ke atas, akhirnya tiba di permukaan bumi. Baru saja orang yang menarik gayung itu melihat wajah Yusuf yang sedang berpegang pada tali gayung itu, dia berteriak sekuat hatinya kerana gembira: Nah, alangkah untungnya, ini adalah seorang anak, anak yang cantik molek. Segera Yusuf dikerumuni oleh semua manusia yang turut dalam rombongan kafilah itu. Dengan riang gembira dan penuh kehairanan, dari mana datangnya anak ini.
Akhirnya mereka sepakat akan menjual Yusuf, bila sudah tiba di kota yang mereka tuju; karena begitu kehendak sebahagian mereka yang ingin mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri, sekalipun ada pula di antaranya yang berperikemanusiaan, ingin mengembalikan Yusuf kepada orang tuanya, atau ingin menjadikan Yusuf sebagai anak angkatnya.
Kafilah itu lalu meneruskan perjalanannya menuju ke negeri Mesir. Nabi Yusuf dibawa ke pasar budak untuk dijual. Akhirnya Yusuf dijualnya dengan tidak banyak tawar menawar, hanya dengan beberapa dirham saja. Mereka jual dengan murah, ada yang kerana kasihan dan keikhlasan hati, ada pula yang kerana takut kalau kalau menjadi perkara yang berpanjangan. Yang sebenarnya seluruh kekayaan yang ada di permukaan bumi ini, belum tentu cukup untuk harga diri Yusuf yang mulia dan suci itu. Yusuf dibeli oleh seorang pembesar negara Mesir, yang memegang tampuk kekuasaan dalam negara itu, Futifar namanya. Dan pula menjadi salah seorang menteri yang terbesar.
Dengan gembira dan rasa beruntung, pembesar itupun segera membawa Yusuf pulang ke rumahnya, lalu ditunjukkan kepada isterinya sambil berkata: Anak ini menurut tanda tanda yang saya lihat pada dirinya dari keterangan tabiat dan wajahnya, adalah seorang anak yang berasal dari orang yang mulia dan terhormat. Terimalah dia dalam kekeluargaan kita, beri tempat yang terhormat kepadanya, jangan diperlakukan sebagai khadam, jangan dianggap sebagai budak belian, sekalipun dia memang kita beli sebagai budak. Saya yakin, bila anak ini sudah dewasalah, menjadi orang yang berumur, akan memberi manfaat kepada kita, atau mari kita ambil dia sebagai anak angkat kita sendiri. Isteri pembesar itupun turut senang dan gembira dengan adanya Yusuf di kalangannya, sebagai anaknya sendiri yang berkebetulan dia sendiri tidak punya anak.
Begitulah Yusuf tinggal di rumah itu sebagai rumahnya sendiri. Dia turut mengerjakan segala sesuatu yang pantas dikerjakannya, dengan rajin dan penuh dipercayai sebagai keluarga, bukan sebagai budak atau khadam. Baik lakunya terhadap anggota rumahtangganya, begitu pula terhadap tetangga dan orang orang yang berdekatan dengan dia.
YUSUF DALAM PENJARA
Yusuf masuk penjara bukanlah karena mencuri atau membunuh, tetapi kerana desakan dari isteri pembesar yang memelihara dirinya dan kerana doanya sendiri kepada Allah, kerana tidak tahan dia di tengah tengah masyarakat yang selalu menggoda kepadanya. Sungguhpun begitu dalam penjara dia setempat saja dengan orang orang penjara lainnya, yang umumnya terdiri dari kaum perompak dan pembunuh, penjahat-penjahat besar yang kasar dan tak berbudi. Disebabkan pergaulan dengan mereka itu, makin kuatlah imannya, makin tabah hati dan jiwanya, makin banyak rahsia masyarakat dapat diketahuinya, makin besar keagungan Ilahi dapat dirasakannya.
Selama tinggal di dalam penjara itu, waktunya selalu dipergunakan untuk merawat orang-orang yang sakit lemah, memberi nasihat kepada yang bersalah dan berdosa, mengajarkan berbagai bagai ilmu dan hikmat yang suci kepada penjahat penjahat itu, lalu pada suatu hari datanglah kepadanya wahyu yang pertama, menyatakan dia diangkat Tuhan menjadi Nabi dan RasulNya.
Seterima wahyu yang pertama itu segera Nabi Yusuf menjalankan tugas kerasulannya di dalam masyarakat penjara itu dengan menyeru mereka kepada menyembah Allah, menjauhkan kesyirikan dan kejahatan. Dinyatakannya kepada mereka, bahwa dia adalah Nabi dan Rasul Allah yang diberi perintah untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Tiba tiba masuklah pula ke dalam penjara itu dua orang pemuda. Yang pertama bekas tukang kebun raja, sedang yang kedua bendahara raja. Setelah lama hidup dalam masyarakat penjara dan merasakan sengsara dan kesusahannya, tiba tiba pada suatu malam kedua pemuda itu bermimpi semacam mimpi yang aneh dan ajaib, sehingga kedua pemuda tadi selalu gelisah sebelum dapat mengetahui akan takwil mimpi mereka masing masing.
Tidak lain yang mereka harapkan untuk mentakwilkannya, selain dari Nabi Yusuf, kerana hanya Yusuf yang paling mereka percayai, pula sudah mereka ketahui, bahwa Yusuf adalah Nabi dan Rasul Allah. Dengan kenabian dan kerasulannya itu, tentu dia mengetahui banyak rahsia yang ajaib ajaib, begitu pun berkenaan dengan takwil mimpi. Pagi pagi benar pemuda itu telah datang menghadap Yusuf. Mula mula berkata tukang kebun raja menceritakan mimpinya:
Saya bermimpi bahawa saya sedang berada dalam sebuah kebun kurma yang sangat lebat buahnya, menghijau warnanya dan seakan akan di tangan saya ini ada sebuah gelas kepunyaan raja; dengan gelas itulah saya memeras buah buah kurma untuk dijadikan air anggur.
Berkata pula orang yang kedua, iaitu bendahara raja: Saya bermimpi bahwa saya membawa sebuah keranjang di atas kepala saya yang penuh dengan bermacam macam roti dan makanan. Tiba tiba terbang melayang di atas kepala saya burung burung helang, lalu menyambar akan semua roti dan makanan itu, dibawanya terbang ke tempat yang sangat jauh. Sebelum menerangkan akan takwil mimpinya kedua pemuda itu, Yusuf mengambil kesempatan dahulu untuk menjalankan dakwahnya terhadap orang banyak dengan berkata: Saya ini adalah Nabi dan Rasul Allah. Saya akan kemukakan takwil mimpi kedua pemuda ini dengan apa yang diwahyukan Allah kepada saya, wahyu yang sudah barang tentu akan kebenarannya. Bukan seperti tukang tukang tenung dan nujum yang hanya mempergunakan pertolongan setan yang menjadi musuh Allah, dan belum tentu ke-benaran terkaan akan tenungannya itu.
Sekarang akan saya terangkan takwil mimpi kedua pemuda ini menurut apa yang diwahyukan Allah kepada saya, yang boleh kamu jadikan bukti atas kebenaran apa yang saya katakan dan ajarkan kepadamu.
Takwil mimpi pemuda pertama, ialah bahawa dia segera akan keluar dari penjara ini dan kembali bekerja sebagai sebelum masuk penjara yaitu menjadi tukang kebun raja. Adapun takwil pemuda yang kedua, ialah bahawa dia akan dihukum salib, bangkainya akan dimakan oleh burung burung.
Kemudian kepada pemuda yang akan keluar dari penjara itu, Nabi Yusuf berpesan, agar disampaikannya kepada raja, bahawa di dalam penjara ini banyak orang yang tak bersalah yang dihukum, hanya dengan tuduhan tuduhan yang tidak benar belaka, agar hal ini mendapat perhatian raja sepenuhnya. Kebenaran takwil mimpi yang diterangkan Nabi Yusuf ini ternyata kemudian dan Nabi Yusuf bertahun tahun lamanya masih tetap meringkuk dalam penjara itu.
YUSUF KELUAR DARI PENJARA
Raja sendiri akhirnya bermimpi yang sangat aneh pada suatu malam, sehingga raja sendiri gelisah pula, takwil apakah gerangan dari mimpinya yang aneh itu. Lalu dipanggilnya semua orang cerdik pandai, tukang telek dan pembesar pembesar kerajaan. Ditanyakannya kepada mereka itu kalau ada yang tahu akan takwilnya dengan berkata: Aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi yang kurus. Saya lihat pula tujuh tangkai gandum yang subur dan tujuh tangkai pula yang kurus kering.
Tidak seorang juga di antara mereka itu yang dapat mentakwilkan mimpi raja. Mereka mengatakan bahwa itu adalah mimpi perintang tidur saja dan ada pula yang mengatakan pengaruh angan angan sebelum tertidur saja. Masing masing mereka tidak mengetahui akan takwil mimpi itu.
Sungguhpun begitu, raja belum juga senang hatinya, tetapi gelisah. Apalagi setelah dikajinya dan diselidiki dalam sejarah hidupnya sendiri, belum pernah dia bermimpi seperti mimpi itu, tidak pernah pula dia mendengar orang lain bermimpi demikian. Keinginannya untuk mengetahui takwil mimpi itu bukan berkurang. Setelah tukang kebun raja mendengar kabar ini, dia segera teringat akan Yusuf yang sedang merengkuk dalam penjara yang pernah mentakwilkan mimpinya sendiri dengan tepat. Dia dengan cepat datang menghadap raja dan berkata: Ya Tuanku, di dalam penjara ada seorang pemuda yang mulia, mempunyai fikiran yang dalam, pemandangan yang luas, dapat membukakan keajaiban keajaiban alam dengan akalnya, dapat mentakwilkan mimpi dengan tepat. Tuanku utuslah saya ke sana pasti saya kembali dengan membawa takwil mimpi Tuanku itu dengan yakin kebenarannya.
Raja gembira mendengar pendapat tukang kebunnya itu. Dia lalu mengutus tukang kebunnya itu menemui Yusuf di dalam penjara. Sesampainya di penjara utusan itu berkata: Ya Yusuf, saudaraku yang mulia, saya datang mengganggu akan ketenanganmu. Saya minta fatwa tentang mimpi melihat tujuh ekor sapi yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi yang kurus, lantas melihat tujuh tangkai gandum yang rimbun dan tujuh tangkai pula yang hampa serta kering. Mudah mudahan dengan takwil yang akan engkau berikan itu dapatlah engkau diketahui oleh umum kaumku dan berterimakasih kepada engkau atas segala kelebihan dan kebaikan engkau itu.
Yusuf menjawab dan menerangkan, bahwa takwil mimpi itu adalah bahawa negara kita menghadapi masa tujuh tahun yang penuh dengan segala kemakmuran dan keamanan, berkembang biaknya segala ternak, tumbuh suburnya semua tanaman, semua orang akan merasa senang dan bahagia. Tetapi sehabis tujuh tahun itu, akan menyusul pula tujuh tahun masa yang penuh dengan kesengsaraan dan kesusahan hidup, ternak tidak berkembang biak, tanaman tidak berbuah, udara panas dan kering, air kurang dan manusia menderita kelaparan hebat.
Tetapi sesudah habis kedua masa itu, akan datang pula masa selanjutnya yang makmur dan tenteram, masa suburnya tumbuh tumbuhan dan ternak, masa memperbaiki segala kerusakan negeri. Di masa itu setiap rakyat akan dapat merasakan lazatnya berbagai-bagai buah-buahan. Itulah takwil mimpi tersebut menurut apa yang diwahyukan Tuhan kepada saya. Oleh karena itu, bila apa yang saya nyatakan ini terbukti nanti, maka hendaklah di masa tujuh tahun yang makmur dan damai itu, dipergunakan sebaik baiknya untuk menyimpan segala gandum yang masih bertangkai, untuk dipergunakan bagi mengurangi kesengsaraan dan kelaparan ummat pada tujuh tahun berikutnya. Keperluan makan selama tujuh tahun pertama, baiknya hanya dipakai sekadar perlu saja.
Setelah raja diberitahu tentang takwil mimpinya itu, raja mengakui bahawa takwil itu memang terbit dari pemandangan dan fikiran yang dalam dan jauh ke muka. Raja memerintahkan agar Yusuf dibawa ke hadapannya, dengan harapan mudah mudahan ia mempunyai pemandangan pemandangannya yang lain yang berguna dan ilmu ilmunya yang perlu untuk keselamatan bersama. Utusan raja kembali mendatangi Yusuf dan mengkhabarkan akan keputusan dan panggilan raja terhadap dirinya: Raja memanggil engkau, ya Yusuf, kerana raja memerlukankan nasihat nasihatmu dan akan mengangkat engkau ke derajat yang tinggi, demikian kata utusan itu mengajak Yusuf.
Dengan tenang Yusuf memenuhi panggilan itu. Dia keluar dari penjara gelap, sudah bertahun tahun lamanya hidup di situ dengan tidak pernah melihat wajah bulan purnama. Sekian lama dia hanya memakan makanan penjara yang kering, kurang garam. Sekian lama pula hanya tidur di atas tikar yang terhampar di atas tanah yang terdiri dari gurun pasir. Tetapi sebelum keluar dia minta lebih dahulu kepada raja, untuk memanggil semua perempuan yang sudah memotongi tangan mereka sendiri dengan pisau, untuk diterangkan kepada mereka bahawa dia sendiri tidak bersalah apa apa dalam hal itu, hanya merekalah yang bersalah dan berdosa. Raja pun segera memanggil semua perempuan yang memotong jarinya itu dan berkata: Bagaimanakah pandangan kamu sekalian terhadap Yusuf, kerana dia akan saya lepaskan dari penjara.
Mereka menjawab, bahawa Yusuf seorang pemuda yang suci murni, tidak pernah bersalah dan berbuat yang tidak baik. Berkata pula isteri pembesar yang telah tergoda dan yang memelihara Yusuf di waktu itu: Memang sudah terlalu lama Yusuf di dalam penjara tanpa kesalahan apa apa. Sayalah yang bersalah kerana tak dapat menahan hawa nafsu terhadap dirinya. Saya tahu bahawa dia selalu menjaga kehormatanku dan kehormatan suamiku, tetap memegang teguh ajaran Tuhannya. Sayalah yang menyebabkan dia masuk penjara, sayalah yang menyebabkan dia menanggung sengsara demikian rupa. Dengan pengakuan ini saya akui bahawa sayalah yang mengajak dia menghampiri saya dan dia segan akan ajakan saya itu.
YUSUF DAN ISTERI PEMBESAR
Penghidupan tenang di rumah pembesar itu, Yusuf telah dapat melupakan akibat susah hati selama dalam telaga, ataupun kesedihan bercerai dengan bapanya yang disayangi. Dia semakin besar dan usianya remaja dengan tampan mukanya yang manis, sifat perangainya yang baik, hidup yang teratur. Ditambah pula dengan hiasan yang dipakaikan kepadanya semakin menarik dan kacaknya. Kerana kekacakan wajahnya inilah menyebabkan dia kembali merasakan cubaan yang jauh lebih hebat dari yang sudah sudah.
Setelah Yusuf melewati zaman anak anak dan memasuki usia remaja, dengan kekacakan rupanya itu telah menyebabkan timbulnya rasa yang tidak dapat dihalang halang dalam kalbu isteri pembesar yang memelihara Yusuf. Menjadi impian baginya segala gerak geri Yusuf, cara datang dan perginya, cara berdiri dan duduknya, apalagi caranya berkata kata, ditambah dengan halus budi dan akhlaknya. Bahkan menarik hati cara tidur dan jaganya, gerak gerinya di waktu makan dan di waktu minum, pendekata segala gerak dan diamnya.
Kasihnya selama ini terhadap Yusuf menjadi semacam tumbuhnya cinta asmara. Dan cinta itu bila telah tumbuh, walau macamana penghalang pun namun dia tidak dapat dihalangi. Berbeza dengan tumbuh tumbuhan bumi, makin dihalang makin subur tumbuhnya, makin kuat tunasnya dan makin dalam jalan urat dan akarnya. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya menaruh cinta terhadap Yusuf, anak angkatnya. Apalagi dia seorang isteri pembesar yang paling tinggi di negara Mesir.
Bagaimanakah cara dia akan menyalurkan cintanya ini? Inilah masalah yang besar yang dihadapinya, dan inilah masalah yang sesulit sulitnya yang perlu dia pecahkan segera. Cintanya semakin mendalam hari demi hari. Kerana hebatnya, kadang kadang di suatu waktu cintanya itu telah mendesak mahu memecah benteng hawa dan nafsu. Dengan seluruh kekuatan jiwa dan raga yang ada padanya, dicubanya menahan cinta, mengekang hawa. Inilah perjuangan yang dihadapi dalam rumah tangga dan dalam dirinya sendiri saban hari dan malam dengan tidak henti hentinya. Kerana kerasnya mengerahkan seluruh kekuatannya dalam perjuangan ini, tampaklah badannya semakin kurus dan warnanya semakin pucat. Tetapi terus memeras kekuatan jiwanya menahan serangan cinta dan hawa nafsu itu.
Malang baginya, dia rupanya tidak menang dalam perjuangan ini, tetapi kalah dan terpaksa menyerah kepada hawa nafsunya. Ingat dia akan kedudukannya, tetapi di ketepikan saja kedudukannya itu. Tahu pula yang kerjanya itu nanti akan menggegarkan mahligai dan istana yang dia diami itu, bahkan akan menggoyangkan seluruh tanahair Mesir yang dipimpin suaminya. Tetapi tahu tinggal tahu, dia terpaksa menyerah kalah.
Mulai dia mengajak Yusuf berbicara memujuk rayu. Tetapi Yusuf seorang yang terhormat. Akhirnya sang isteri itu penat dan bosan hanya dengan pujuk rayu, dia ingin berterus terang kepada Yusuf. Setelah dia memakai sebaik baik pakaian yang ada padanya, berwangi wangian dengan minyak wangi yang paling tersohor harumnya, di kala di rumahnya itu hanya dia bersama Yusuf saja, lalu ditutuplah semua pintu dan jendela, terus datang mendekati Yusuf dan berkata: Marilah Yusuf dekati saya!
Sekalipun Yusuf dalam usia remaja, tetapi kerana dadanya sudah dipenuhi Tuhan dengan hikmat, jiwanya sudah dikuasai oleh wahyu Ilahi sebagai seorang bakal diangkat Tuhan menjadi Nabi, dapatlah dia mengatasi suasana genting dan berbahaya itu.
Yusuf menjawab terhadap ajakan itu: Aku berlindung diri kepada Allah dari apa yang engkau kehendaki itu. Jauhkan aku akan berbuat khianat terhadap Tuanku yang telah memelihara diriku ini, tidak akan kucemarkan beliau yang kuhormati ini. Sungguh hebat cubaan yang dihadapi dan perlu diatasi Nabi Yusuf
Mendengarkan jawab Yusuf itu dan setelah ternyata segala daya upayanya untuk menyampaikan niatnya dengan Yusuf tidak tercapai, timbullah marah dalam dadanya, marah yang membakar sebagai cintanya yang berkobar kobar pula.
Timbul niat jahat dalam hatinya terhadap Yusuf, ingin membalas dendam, sekalipun dengan cara yang sejahat jahatnya. Dalam berfikir fikir tindakan apa yang harus dilakukan Yusuf menghadapi kejadian itu, tiba tiba datanglah wahyu Ilahi kepadanya, di mana dinyatakan, bahawa Yusuf lebih baik lari saja dari tempat kejadian itu. Yusuf segera menjalankan apa yang tercatat dalam wahyu itu. Dia lari menuju pintu. Tetapi bajunya dapat dipegang oleh perempuan itu dari belakang sampai robek!
Tepat di saat itu tuan rumah (pembesar itu) datang dan membuka pintu dari luar, tampak dengan dua mata kepalanya sendiri apa yang sedang terjadi dalam rumahnya, antara Yusuf dan isterinya. Keadaan sungguh meragukan terhadap sang suami, siapakah yang menjadi pokok pangkal segala kejadian ini? Di situlah keluar sifat sifat kejahatan seorang perempuan, ada saja akal untuk menutupi kejahatan dirinya, untuk menyalahkan orang yang sebenarnya tidak bersalah.
Perempuan itu lalu berkata kepada suaminya: Yusuf sudah merosak kehormatan dirimu, tidak menjaga akan kedudukanmu. Dia akan mengotori aku, memaksa mendatangi aku. Maka apakah gerangan balasan yang setimpal bagi orang yang ingin mencemarkan kehormatanmu dan isterimu sendiri, selain penjara dan seksaan yang sepedih pedihnya.
Yusuf terpaksa berterus terang menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi dan berkata: Bahawa dialah yang mendatangi diriku ! Sejurus kemudian masuklah ke situ anak paman perempuan itu sendiri; seorang yang bijaksana lagi lurus, dapat menghukum dengan adil. Setelah dia mendengar berbagai bagai keterangan yang bertentangan itu, dia lalu berkata: Bila baju Yusuf itu koyak bahagian muka, maka benarlah perempuan itu dan Yusuflah yang berbohong; tetapi bila baju Yusuf itu koyak bahagian belakangnya, maka Yusuflah yang benar, perempuan itulah yang bohong.
Setelah di lihat bahawa yang koyak itu adalah baju Yusuf bahagian belakang, maka teranglah sudah bahawa Yusuf tidak bersalah, hanya perempuan itulah yang mendatanginya.
Pembesar itu lalu berpaling kepada isterinya dan berkata:
Memang ini adalah tipu daya perempuan dan kecemarannya, minta ampunlah engkau atas dosa mu itu, karena sudah terang engkaulah yang bersalah. Kepada Yusuf pembesar itupun berkata: Engkau sendiri, hai Yusuf, hendaklah menahan lidahmu dari bercakap tentang kejadian ini, jangan kejadian ini sampai diketahui orang banyak.
Tetapi sekalipun bagaimana juga, kejadian itu ditutup tutup, namun lambat laun diketahui orang banyak juga. Memang sepandai pandai orang membungkus yang busuk, akhirnya berbau juga. Khabar ini telah tersiar luas di dalam kota, setiap hari menjadi buah bibir setiap perempuan, bahkan telah menjadi pembicaraan setiap raja dan keluarga istana di mana mana: Isteri Aziz (Pembesar) itu terpedaya oleh anak peliharaannya yang berbangsa Ibrani, jatuh cinta kepadanya karena kacaknya anak itu, cinta yang telah membawa dia mencemarkan kehormatan istana dan kedudukannya, menurutkan nafsu. Sedang anak itu bukan main baik dan zuhudnya, tidak tertarik kepada kecantikan perempuan pembesar itu karena jiwanya yang suci, dapat menahan nafsu remajanya dengan keyakinannya yang tebal.
Lama kelamaan khabar itu makin tersebar luas juga, malah banyak ditambahi di sana sini dengan berbagai bagai cerita, sehingga banyak pula yang sampai ke telinga isteri pembesar itu sendiri. Sedih dan marah dia mendengar tambahan tambahan yang tidak benar itu. Tetapi apa yang dapat dia lakukan? Semua senjata akan berupakan tumpul kalau berhadapan dengan suara orang banyak, suara perempuan perempuan pula.
Lama dia berfikir untuk mencari jalan yang sebaik baiknya untuk membalas kata kata yang tak benar itu, tetapi jalan itu tidak tampak sedikitpun. Dia terus mencari dan berfikir. Akhirnya dia mendapat akal dan jalannya. Dia undang semua perempuan kota datang ke rumahnya menghadiri satu pesta besar yang diadakannya berhubung dengan hari besar. Tempat diaturnya se bagus bagusnya, makanan disediakan seenak enaknya, minum minuman berbagai rupa, buah buahan yang ranum manis.
Undangan ini mendapat sambutan yang hangat sekali dari perempuan perempuan yang tinggal dalam kota, lebih-lebih perempuan perempuan yang menaruh perhatian terhadap kejadian yang sudah menjadi percakapan orang ramai selama ini. Selain ingin menjadi tamu pembesar, pula ingin mengetahui keadaan isteri yang tergoda dan pula untuk mengetahui anak muda yang bernama Yusuf itu sendiri.
Bukan main meriahnya pertemuan itu, perbualan dan ketawa silih berganti. Bermacam macam makanan dan minuman tidak putus putusnya dihidangkan untuk di santap bersama sama. Di akhir sekali dihidangkan pulalah buah buahan yang manis manis rasanya. Kepada masing masing yang hadir itu diserahkan se bilah pisau untuk memotong dan mengupas sendiri akan buah buahan yang disajikan itu.
Ketika masing masing yang hadir itu asyik mengupas buah dengan pisau, isteri pembesar yang menjadi tuan rumah, memerintahkan kepada Yusuf untuk keluar ke tengah tengah pertemuan perempuan itu untuk memperkenalkan dirinya. Yusuf keluar, berjalan di antara barisan barisan perempuan yang banyak itu.
Baru saja perempuan perempuan banyak itu melihat wajah Yusuf yang seperti bulan penuh, rambutnya yang ikal licin, alisnya seperti semut seiring, matanya sebagai kejora pagi, pipinya yang seperti pauh dilayang, bibirnya seperti jeruk se ulas, kecantikan terletak pada semua bahagian badannya, terletak pada tiap gerak gerinya, maka kagumlah mereka memandangnya, bahkan lupa akan dirinya masing masing, bercampur aduk akal dan fikirannya. Dengan tak sedar pisau yang ada di tangan mereka masing masing itu bukan mereka potongkan buah buahan yang ada di tangan mereka, tetapi mereka potongkan ke tangan dan jari mereka sendiri dan tidak pula mereka merasakan akan sakit perihnya.
Bukanlah ini manusia, kata mereka dengan kagum. Tetapi adalah Malaikat yang mulia. Melihat kejadian itu, isteri pembesar itupun bertepuk tangan kegembiraan, kerana usahanya berhasil bagus. Lalu berkata dengan megahnya: Inilah dianya Yusuf yang selalu kamu percakapkan itu, dan selalu kamu sekalian mencaci maki saya dengan kata kata berhubung kejadian antara saya dengan dia baru baru ini. Sekarang kamu sekalian pun setengah gila memandangnya, hanya pandangan yang sekejap saja. Sedang saya setiap hari dan malam melihatnya, memandang duduk dan berdirinya, datang dan perginya. Dengan pandangan yang selintas lalu ini saja kamu telah lupa akan dirimu masing masing. Lihatlah kamu sudah memotong jari jarimu sendiri dengan pisau. Tidakkah kamu sekalian merasa pedih dan perih dilukai oleh pisau itu?
Saya akui di hadapanmu sekalian, memang sayalah yang telah jatuh cinta kepadanya dan mendatanginya, tetapi dia tetap enggan dan berlindung diri kepada Tuhannya, dia berpaling dan menjauhkan diri Dengan terus terang aku akui di hadapanmu sekalian, bahawa saya memang tidak begitu kuat untuk menahan hatiku sendiri terhadap dirinya.
Berbagai-bagailah ucapan hadirin perempuan itu terhadap Nabi Yusuf sekarang ini, Ada yang berkata bahawa Yusuf itu Malaikat, sudah sepantasnya kalau isteri pembesar itu terpedaya olehnya. Ada pula yang kagum melihat ketabahan jiwa Yusuf menghadapi isteri pembesar yang kaya dan cantik itu, sehingga dia tak tersesat dan tetap enggankan dirinya, sekalipun dia tahu yang isteri pembesar itu selain cantik dan kaya, besar pula kekuasaannya. Bila Yusuf dapat menurutkan kehendaknya, tentu seluruh kekayaan dan kehebatan isi istana itu dapat pula dikuasai Yusuf. Kenapa dia tidak mahu dan tetap enggankan dirinya itu? Dan sekiranya Yusuf menolak akan kehendak perempuan itu, ia dapat melakukan apa yang dikehendakinya terhadap Yusuf, mungkin akan dibunuh atau dibuang jauh. Apakah Yusuf tidak takut kepada semua itu?
Mendengar semua itu, Yusuf hanya berlindung diri kepada Allah, bertunduk kepala berdoa agar dia dijauhkan Tuhan dari tipu daya perempuan: Ya, Tuhanku ! Penjara yang gelap lagi sempit itu lebih baik bagiku daripada dalam istana tetapi menghadapi perempuan perempuan cantik yang selalu menggoda itu. Mudah mudahan dalam penjara itu nanti dapatlah aku bertambah sabar, dapat menghitung hitung nikmat dan pemberian Engkau, dapat menyelami rahsia rahsia kebesaran Engkau, ya Allah. Kalau aku di sini, ya Allah, selalu berhadapan dengan perempuan perempuan yang menggoda kepadaku, aku takut dan khuatir kalau kalau semangatku lemah, imanku luntur, syaitan menang dalam menggodaku sehingga aku terperosok masuk ke lembah kehinaan dengan mereka. Ya Tuhan, penjara lebih baik bagiku daripada tergoda goda seperti ini,jauhkan juga aku dari penggodaan itu, dan saya adalah hambaMu yang bodoh.
Isteri dari pembesar sendiripun kerana tidak tahan berhadapan dengan Yusuf, minta kepada suaminya, supaya Yusuf dikurung saja dalam penjara. Permintaan ini dikemukakan dengan sangat tak boleh ditawar tawar.
Untuk melepaskan perempuan itu dari kesengsaraan batinnya, pula untuk mengabulkan doa Nabi Yusuf kepada Tuhannya, tak lama kemudian Yusuf pun dimasukkan ke dalam penjara, ditutup seperti orang-orang jahat, sekalipun dia sendiri tidak pernah berbuat jahat. Dalam penjara itu dia bekerja pula sebagaimana orang orang penjara lainnya. Semua dilakukannya dengan penuh kesabaran. Dalam penjara itulah Yusuf menghabiskan hari muda remajanya yang rupawan itu dan di dalam penjara itu pulalah mula mula sekali datang kepadanya wahyu Allah yang pertama, dengan wahyu mana dia terangkat menjadi Nabi dan Rasul Allah. Penjara dan telaga Jub yang sebelumnya itulah rupanya menjadi tempat latihan untuk menerima risalahnya, sebagaimana Gua Hira bagi Nabi Muhammad s.a.w., sengsara dalam pengembaraan bagi Nabi Ibrahim dan lain lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment